Sunday 20 May 2012

Asas pembentukan Falsafah Pendidikan kebangsaan


Dalam menuju kepada sebuah negara bangsa, kestabilan politik, ekonomi dan pendidikan amat diperlukan. Maka dengan itu dasar pendidikan yang mantap akan menjadi asas kepada rujukan berfokus untuk mengelakkan daripada konflik seperti masalah perpaduan kaum, ketidakpuasan hati antara kaum dan perpecahan. Keadaan ini akan menyumbang kepada masalah pembangunan, keamanan dan kemajuan sesebuah negara. Dasar pendidikan negara adalah manisfestasi daripada Falsafah Pendidikan yang mula ditulis pada tahun 1988, falsafah-falsafah yang terkandung didalamnya mengandungi matlamat, pelaksanaan pendidikan, ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam diri individu dan hal-hal yang terkait dengan bidang pendidikan. Sebelum tahun 1988, falsafah pendidikan bersifat tersirat sahaja iaitu hanya merujuk kepada perkara-perkara asas daripada dasar kerajaan seperti Rukun Negara, Dasar Ekonomi dan ideologi kerajaan ketika itu.
Pembentukan Falsafah Pendidikan Negara bermula daripada pembentukan negara Malaysia yang merdeka dah berdaulat, ia bermula sejak Malaysia menuntuk kemerdekaan daripada penjajah British. Dasar Pecah dan Perintah oleh pihak Inggeris pada sekian lamanya telah menjadi dasar pendidikan ketika itu, usaha-usaha perpaduan sama ada antara suku kaum yang ada atau antara penduduk luar bandar dengan penduduk bandar. Keadaan ini mengundang kepada hala tuju pendidikan rakyat yang kabur pada ketika itu, sekolah-sekolah vernakular yang diperkenalkan lebih kepada pengekalan ideologi dan identiti satu-satu kaum sahaja dan asasnya bersifat tidak kukuh.



Perkembangan sistem pendidikan terus berkembang secara perlahan dan berterusan, tetapi masih lagi wujud isu-isu seperti pengekalan identiti kaum sendiri, tiada tujuan pendidikan untuk kemajuan dan pembangunan negara bangsa serta tiada usaha untuk tujuan perpaduan kaum bagi pembentukan negara Malaysia. Falsafah pendidikan ketika itu tidak secara tersirat, malah hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan kepada satu-satu kaum sahaja pada masa itu sahaja. Kesan daripada dasar pecah dan perintah oleh penjajah berjaya mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan bersatu padu ini, tujuan penjajah untuk menangguh kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu jelas dengan menjadikan alasan perpaduan kaum tidak dicapai ketika itu.
Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pemimpin politik tempatan telah sedar untuk mengubah sistem pendidikan penjajah kepada sistem pendidikan kebangsaan selaras usaha untuk membentuk sebuah negara bangsa ketika itu. Pada tahun 1956 satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah ditubuhkan. Laporan jawatankuasa ini akan dilaksanakan sebagai dasar pendidikan apabila Tanah Melayu telah merdeka kelak. Laporan ini juga dikenali sebagai Penyata Razak 1956 yang seterusnya menjadi asas kepada Ordinan Pelajaran 1957. (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman 2008).
Selepas Merdeka, Penyata Rahman Talib 1960 diwujudkan sebagai kesinambungan penyata Razak 1956. Kementerian Pelajaran ketika itu banyak merujuk kepada Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 dalam usaha mencipta dasar pendidikan kepada rakyat Malaysia yang baru merdeka. Pokok utama dalam mengkaji kedua-dua penyata ini ialah isu perpaduan kaum, usaha pendidikan juga terjurus kepada pembangunan sebuah negara yang baru merdeka, insfrastruktur dan kemudahan awam. Usaha ini juga mengharapkan agar keperluan sumber manusia sebagai penggerak kemajauan negara bangsa akan dapat dipenuhi melalui pendidikan.
Falsafah pendidikan masih belum lengkap dan digunapakai sebagai dasar pelajaran negara ketika itu. Walaubagaimana pun, pelbagai pindaan ke arah lebih baik dilakukan dari masa ke semasa, Jawatankuasa Kabinet 1974 telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan sejak tahun1961. Daripada hasil laporan Jawatankuasa 1974 ini, banyak pindaan dibuat dalam sistem pendidikan negara seperti penekanan kepada keperluan asas iaitu 3M (membaca, menulis dan mengira). Selain itu, ditambahkan juga pendidikan kerohanian dan kurikulum menggunakan acuan Malaysia ketika itu. Pengenalan KBSR 1982 dan KBSM 1988 juga merupakan kesan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 selain permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara. (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman 2008).
Laporan Jawatankuasa Kabinet telah diterbitkan pada tahun 1979 sebagai permulaan falsafah pendidikan negara yang tersurat dan memenuhi keperluan rakyat ketika itu. Ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan FPN diperkenalkan secara bertulis pada tahun 1988. (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman 2008) Antara asas pembinaan FPN ialah pertama merangkumi pelbagai perkara termasuklah pembangunan insan, pembangunan negara, keadaan rakyat yang berbilang kaum serta agama kearah pewujudan satu bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang mantap melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani secara seimbang dengan berlandaskan kepada ketuhanan.
FPN juga diasaskan kepada hasrat dan aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi umbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini seterunya menjadi satu matlamat asas dan penting dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penekanan terhadap diri, masyarakat dan negara penting bagi mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai kaum di Malaysia, ia merupakan satu tanggungjawab diri menyumbang kepada masayarakat yang berbilang bangsa dan khasnya Malaysia tanpa ada prejudis terhadap kaum lain.
Asas FPN juga mengambil kira aspirasi proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Dalam falsafah ini digariskan bahawa harus selari dengan kehendak agama Islam sebagai agama rasmi serta pembangunan negara. Pemahaman terhadap asas ini penting kepada kaum-kaum penganut agama lain untuk mengakui dengan jelasnya terhadap kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Malaysia, oleh itu FPN dibentuk berlandaskan syariah dan bukan ideologi sekular dalam pendidikan kita. Falsafah pendidikan Islam dimasukkan dalam FPN iaitu menekankan perkembangan seimbang diri individu dari segi rohani, intelek, emosi dan fizikal yang membawa kepada individu beriman, berilmu, berakhlak, bertakwa dan beramal soleh untuk membina masyarakat, hormat-menghormati dan bantu membantu antara satu sama lain. (resolusi dan konsensus sedunia pendidikan Muslim, 1977)
Selain itu, dalam FPN juga menekankan nilai baik seperti yang terdapat dalam falsafah barat, tetapi lebih daripada itu pemilihan nilai-nilai yang baik itu daripada pelbagai sumber dan falsafah. Apabila unsur dan nilai baik ini dimasukkan dalam FPN maka ia seharusnya diterima oleh lapisan masyarakat tanpa ada keraguan dan tiada pihak akan menolaknya. FPN merupakan gabungan terbaik daripada pelbagai sudut, ini memungkinkan sistem pendidikan negara akan terarah dengan lebih jelas dan sistematik serta mudah difahami. Guru sebagai pelaksana FPN harus memahami secara mutlak asas dan nilai-nilai yang terdapat dalam FPN ini, dengan hala tuju yang jelas ini diharapkan semua pihak akan berusaha merealisasikan FPN supaya pembangunan negara akan lebih berkembang lancar seiring dengan moral rakyat dan masyarakatnya  yang baik dan mulia.

FPN yang telah mengalami beberapa penambahbaikkan dalam usaha memantapkanya harus dilaksanakan dengan strategi yang bersepadu. Jika melihat kepada tujuan pendidikan yang mahukan masyarakat yang makmur dan sejahtera antara manusia sesama manusia, hubungan manusia dengan tuhan dan manusia dengan alam. Oleh itu, strategi-strategi pelaksanaan FPN amat penting untuk merealisasikan tujuan ini. Perkara yang paling penting ialah daripada pendidikan ini akan menghasilkan rakyat yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab dan berhak menikmati kebahagian hidup serta sedia berbakti kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Berasaskan FPN, ia mempunyai usaha-usaha untuk menyediakan bekalan sumber manusia dan ada menyentuh berkaitan soal pembangunan sosial manusia dalam menerapkan unsur integrasi dalam FPN ini. Ia merangkumi penyediaan kepada rakyat Malaysia peluang untuk menuntut ilmu dan kemahiran, dengan ilmu dan kemahiran ini dapatlah mereka melakukan kerja serta dapat membezakan antara perkara baik dan perkara yang kurang elok untuk dipilih dalam kehidupan mereka nanti. Keduanya ialah memperluaskan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran tentang tanggungjawab rakyat Malaysia yang demokratik. Ketiga memberikan peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira agama, kaum, umur, keturunan dan keadaan fizikal. Keempat ialah untuk membolehkan seseorang itu menghayati Rukun Negara untuk menjadikan seseorang rakyat Malaysia yang taat, progresif, petrotik, toleransi dan bermoral. (Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman 2008).





Rujukan
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2008), Falsafah Pendidikan dan Kurikulum edisi
kedua, Tanjong Malim Perak : Quantum Books.

No comments:

Post a Comment